Wednesday, 6 May 2015
Operasi kunci tayar kenderaan
JERTIH - Majlis Daerah Besut (MDB) bertindak mengunci tayar lima kenderaan dalam operasi kunci tayar hari pertama dilakukan di sekitar bandar Jertih kelmarin.
Setiausaha MDB, Fakrulrazi Ibrahim berkata, tindakan itu dikenakan pada kenderaan yang didapati pemiliknya melanggar undang-undang ketika meletak kenderaan masing-masing.
Menurutnya, kenderaan yang dikunci tayar termasuk yang diparkir di atas garisan kuning dan meletak kenderaan di luar petak parkir disediakan di sekitar bandar tersebut.
“Operasi ini terpaksa dilakukan bagi melancarkan sistem aliran trafik di bandar ini dan tidak menyusahkan pengguna jalan raya lain.
“Pihak kami mendapat banyak aduan orang ramai mengenai kesesakan jalan raya disebabkan sikap segelintir pemandu yang meletak kenderaan mereka sesuka hati,” katanya.
Fakrulrazi berkata, langkah yang diambil di bawah Perintah Lalu Lintas MDB 1993 dan Akta 333 itu bertujuan mendisiplinkan pengguna jalan raya sekali gus mewujudkan sebuah bandar yang harmoni serta tidak menimbulkan ketidakpuasan hati pihak lain.
Menurutnya, tindakan segelintir mereka yang tidak mematuhi peraturan meletak kenderaan itu bukan sahaja menyebabkan kesesakan lalu lintas tetapi turut menghalang kenderaan lain untuk keluar dari petak parkir dan sebagainya.
“Beberapa lokasi di bandar ini telah digazetkan sebagai zon kunci tayar dan papan tanda amaran telah dipasang antaranya sepanjang Jalan Tuan Hitam (sekitar depan Ambank sehingga Bank Islam).
“Lokasi lain ialah sepanjang Jalan Haji Jusoh (bersebelahan Medan Selera Jertih), depan Pasaraya Econjaya Jaya, lorong berdekatan sebuah makanan segera dekat Maybank Jertih dan jalan utama berdekatan Bangunan Umno Bahagian Besut,” katanya.
Fakrulrazi memberitahu lagi, pemilik yang mendapati kenderaan mereka dikenakan tindakan kunci tayar perlu ke Unit Letak Kereta di Jalan Bukit Mok Mek di sini untuk membuka tayar dengan bayaran denda sebanyak RM50.
Kata beliau, bagi mengelak berdepan dikenakan tindakan tersebut, beliau berharap pengguna mematuhi peraturan .
“Operasi seperti akan dilaksanakan setiap hari di kawasan terbabit dan MDM turut mengingatkan orang ramai mempunyai tunggakan surcaj atau kompaun berkait letak kereta agar menyelesaikan segera untuk mengelak dikenakan tindakan mahkamah,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment