Saturday, 28 March 2015
Penduduk bakal dihalau. Kampung Bagan Jermal berusia lebih 100 tahun akan lenyap.
PULAU PINANG- Persiaran Gurney yang menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara di sini, bakal berubah wajah tidak lama lagi selepas sebahagian kawasan tersebut dijangka dibangunkan dengan projek komersial.
Perkara itu berikutan notis yang dikeluarkan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) bagi kerja-kerja pembangunan tanah di atas lot 1011, 1372 dan 2882 di kawasan berkenaan.
Sebahagian lot tanah tersebut meliputi kawasan Jalan Kelawai berdekatan bulatan Persiaran Gurney serta kawasan penempatan penduduk.
Projek terbaharu oleh MPPP itu mengundang kebimbangan penduduk kerana bakal merubah sepenuhnya landskap Persiaran Gurney pada masa depan.
Malah, projek pembangunan itu juga bakal menyebabkan Persiaran Gurney bertambah padat dengan bangunan komersial, sekali gus memburukkan lagi keadaan lalu lintas yang sudah sedia sesak ketika ini.
Menurut jurucakap Citizens Awareness Chant Group (Chant Group), cadangan pembangunan di atas tapak tanah milik MPPP itu sangat mengejutkan memandangkan kawasan berkenaan disifatkan sudah terlalu sesak dengan pembangunan komersial.
Katanya, MPPP sepatutnya memanggil penduduk di kawasan tersebut dan mendapatkan maklum balas sebelum meneruskan sebarang cadangan pembangunan di kawasan berkenaan.
Tambahnya, selain deretan hotel-hotel mewah dan bangunan komersial, kawasan itu juga sudah mempunyai kompleks beli-belah mega, sekali gus dilihat tidak lagi sesuai dibangunkan dengan projek komersial baharu.
“Malangnya kita tidak pernah mendengar MPPP atau kerajaan negeri mengadakan dialog dengan penduduk tentang cadangan pembangunan di kawasan ini.
“Sedangkan cadangan pembangunan ini boleh disifatkan sebagai kritikal kerana bukan hanya merubah landskap Persiaran Gurney, malah akan menyebabkan penduduk di kawasan tersebut menanggung kesan kerana kepadatan projek komersial,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Presiden Kongres Persatuan Melayu Pulau Pinang (KMPP), Rahmad Isahak berkata, kerajaan negeri sepatutnya tidak membenarkan kawasan tersebut dibangunkan dengan lebih banyak projek komersial kerana dilihat tidak lagi sesuai dengan keadaan semasa.
Sambil melahirkan rasa terkejut, beliau juga membidas kerajaan DAP Pulau Pinang yang disifatkan lepas tangan dalam membantu penduduk di kawasan itu menyelesaikan isu pertikaian dengan tuan tanah sehingga menyaksikan sebuah lagi penempatan bakal dimusnahkan.
Menurutnya, kerajaan negeri sepatutnya mengambil langkah lebih berkebajikan dan berperikemanusiaan dalam menyelesaikan masalah pertikaian antara penduduk dengan pemilik tanah supaya tiada pihak dilihat seperti teraniaya.
“Penduduk kampung juga merupakan rakyat dan pengundi di negeri ini dan ada antara mereka yang turut membayar cukai pintu kepada MPPP, jadi tidak seharusnya kebajikan mereka diabaikan,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment