Thursday 9 April 2015
Sirul kecewa ibu dibawa jumpa Tun M
SHAH ALAM - Sirul Azhar Umar tidak tahu menahu malah tidak bersetuju sama sekali dengan tindakan pihak tertentu membawa ibunya, Piah Ahmad berjumpa Tun Dr Mahathir Mohamad, kelmarin.
Peguamnya, Hasnal Rezua Merican berkata, bekas koperal polis itu turut merayu kepada semua pihak supaya tidak mengeksploitasi kesnya untuk kepentingan mereka kerana itu boleh menjejaskan proses perundangan yang sedang dihadapinya di Australia.
"Sejak dapat tahu ibunya dibawa berjumpa dengan Tun (Mahathir), Sirul sudah dua kali hubungi saya. Kali pertama lebih kurang jam 9 malam tadi (Rabu), dan kali kedua 5 petang ini (semalam).
"Nada suara dan kata-katanya menunjukkan dia sangat kecewa dengan tindakan mereka (bawa ibunya jumpa Dr Mahathir)," kata Hasnal ketika dihubungi, malam tadi.
Menurut Hasnal, Sirul juga mengulangi pendirian mahu terus berada di Australia.
"Dia akan guna semua saluran dan proses perundangan untuk tidak dihantar balik ke sini," katanya.
Untuk tujuan itu, kata Hasnal, Sirul kini menggunakan khidmat dua peguam tempatan di Australia selain beliau sendiri dan Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin yang mewakilinya di negara ini.
Mahkamah Persekutuan 13 Januari lalu menjatuhkan hukuman mati ke atas Sirul dan Azilah Hadri, bekas inspektor polis juga daripada pasukan UTK atas kesalahan membunuh model Mongolia, Altantuya Shaariibuu di Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja, Klang, dekat sini, antara jam 10 malam 19 Oktober hingga 1 pagi 20 Oktober, 2006.
Mengikut perjanjian ekstradisi Malaysia - Australia yang dikuatkuasakan sejak 28 Disember 2006, negara itu berhak menolak permohonan ekstradisi Malaysia atas kedudukan Sirul yang dihadapkan dengan hukuman mati kecuali kedua-dua pihak berbincang dan mencapai persetujuan bersama untuk ekstradisi itu dibenarkan.
Mengikut rekod Imigresen, Sirul berlepas ke Australia pada Oktober tahun lalu dan dia kini ditahan di sebuah pusat tahanan Imigresen negara itu.
Hasnal berkata, Sirul telah dinasihatkan oleh peguam yang mewakilinya di Australia bahawa sebarang kenyataan yang dibuat oleh mana-mana pihak yang memetik dirinya (Sirul) sebagai berkata, boleh menjejaskan kepentingannya dalam proses perundangan yang dihadapi di negara itu.
"Ini termasuk kenyataan-kenyataan yang mengaitkan dirinya sebagai 'kambing hitam' ataupun 'membunuh atas arahan'. Kenyataan seperti ini boleh menimbulkan prejudis terhadap dirinya dalam proses perundangan yang sedang dilalui di sana," katanya.
Sehubungan itu, kata Hasnal, Sirul merayu kepada semua pihak termasuk yang bersimpati terhadap dirinya supaya tidak menyeret kesnya ke dalam kemelut politik tanah air.
"Dia merayu supaya mereka memberikan ruang kepadanya untuk menghadapi proses perundangan yang sedang atau akan dilalui di sana tanpa sebarang gangguan," katanya.
Menjawab pertanyaan, Hasnal memberitahu, Sirul ada memaklumkan kepadanya bahawa dia telahpun menghubungi ibunya petang semalam.
Piah petang kelmarin telah dibawa oleh Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dan bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Pulau Pinang, Datuk Khairuddin Abu Hassan bertemu Dr Mahathir di pejabatnya di Putrajaya.
Ini berikutan kenyataan bekas perdana menteri itu yang dalam beberapa entri blognya melontarkan kritikan keras terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak termasuk yang menyentuh pembunuhan Altantuya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment