Wednesday, 22 April 2015

Sempat selamat dua anak sebelum rumah hangus


KAMPUNG RAJA - Seorang suri rumah berjaya menyelamatkan dua anak lelakinya setelah rumah yang diduduki mereka di Kampung Gong Bayor, di sini, hangus dalam satu kebakaran semalam.



Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari itu, Norilyani Mohd Nor, 30, bersama anak bongsunya, Amirul Shafiq Mohd Kamarul, 4 bulan, dan anak keduanya, Asyran Syameer, 4, tidak mengalami sebarang kecederaan kerana sempat menyelamatkan diri.

Menurut Norilyani, ketika itu dia sedang menidurkan anak bongsunya di dalam buaian manakala Asyran Syameer bermain tidak jauh daripadanya di rumah tamu rumah.

“Tiba-tiba saya terdengar orang menjerit dari luar rumah beberapa kali, memberitahu rumah terbakar. Pada mulanya saya sangka rumah orang lain terbakar tapi rupa-rupanya rumah saya terbakar.

“Saya sempat pergi melihat di dalam salah satu bilik di dalam rumah tetapi api sudah marak lalu saya membawa keluar kedua-dua anak saya,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian, anak sulungnya Nor Emiliana, 7, berada di sekolah manakala suaminya Mohd Kamarul Ariffin Khaled, 27, bekerja sebagai pemotong rumput di Gong Manok.

Menurutnya, sebaik keluar dari rumah, beberapa orang awam yang lalu di jalan raya hadapan rumah menariknya menjauhi kawasan rumah terbakar.

“Saya sempat meminta tolong orang ramai menyelamatkan sebuah motosikal yang diletakkan di beranda, tetapi barangan dan dokumen penting gagal diselamatkan,” katanya.

Norilyani sekeluarga tinggal sehelai sepinggang akibat kejadian itu dan rumah itu juga adalah rumah yang ditumpang dari saudaranya.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Mohd Zailani Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 12.17 tengah hari dan sepasukan 10 anggota diketuai beliau bersama dua jentera tiba di tempat kejadian 11 minit kemudian.

Menurutnya, api berjaya dikawal kira-kira 15 minit selepas itu dan dapat dikawal sepenuhnya dalam masa 45 minit.

“Punca kejadian dikatakan bermula dari dalam sebuah bilik. Namun punca kebakaran dan di mana api bermula serta jumlah kerugian dalam siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut datang untuk membuat penilaian dan menghulurkan bantuan awal seperti selimut, pakaian dan makanan manakala wakil Pejabat Penyelaras Dun Kota Putera turut menghulurkan sumbangan.

No comments:

Post a Comment