Tuesday 28 April 2015
"Masa jadi wakil rakyat tak pernah jenguk kami" - Pengundi
BUKIT MERTAJAM: "Anwar atau isterinya (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) masa jadi wakil rakyat di sini tak pernah jenguk pakcik. Dia pun jarang turun padang dan tak tolong rakyat biasa di Permatang Pauh."
Demikian luahan perasaan Zulkifli Hamid, 79, seorang daripada antara pengundi tertua pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh 7 Mei ini.
Zulkifli berkata sejak pertama kali menjadi wakil rakyat kawasan itu pada tahun 1982, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah menziarahi golongan warga emas termasuk dirinya sendiri yang tinggal di Tanah Liat di sini.
Dia menyifatkan PKR hanya mahukan undi daripada rakyat tetapi tidak pernah mempedulikan nasib golongan miskin dan warga emas di kawasan parlimen Permatang Pauh.
"Pakcik sekali pun tak pernah tak mengundi...pakcik tetap akan mengundi BN (Barisan Nasional) kerana parti itu yang banyak membantu kami di sini (Permatang Pauh)," katanya kepada Bernama di sini.
Siti Nuraina Mohd Aman, 31, yang tinggal di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, iaitu satu daripada tiga DUN di Parlimen berkenaan, pula berpendapat Parlimen Permatang Pauh seharusnya lebih pesat dan sudah lama membangun jika pengundi memilih wakil rakyat yang berjiwa rakyat.
Pekerja di sebuah kilang di Perai ini memberi contoh Parlimen Tasek Gelugor dan Kepala Batas iaitu jiran Permatang Pauh yang semakin membangun di bawah wakil rakyat daripada BN dan banyak menawarkan peluang pekerjaan kepada anak tempatan.
"Maksudnya, wakil rakyat yang memahami masalah setempat dan memberi tumpuan serta berusaha menyelesaikannya. Tiga DUN di kawasan Permatang Pauh adalah daripada pakatan pembangkang yang ada peluang terbaik memajukan parlimen ini kerana kerajaan Pulau Pinang juga di bawah parti yang sama tetapi lihatlah apa yang ada...Penanti dan Permatang Pasir masih jauh ketinggalan," katanya.
Khairul Anas Ismail, 47, berkata sebagai pengundi di kawasan Permatang Pauh, beliau kecewa dengan wakil rakyat kerana tidak membawa pembangunan dan pembaharuan kepada penduduk di situ.
"Saya sudah tidak larat hendak berpilihan raya lagi kerana masuk kali ini sudah dekat lima kali mengundi dan balik balik dia dan keluarganya sahaja..keadaan di Permatang Pauh masih sama jugak. Kami pengundi di sini kecewa dengan prestasi wakil rakyat sebelum ini.
"Bagi golongan muda seperti saya, kami mahu wakil rakyat daripada orang muda pula untuk bela nasib kami terutama berkaitan peluang pekerjaan di sini," katanya.
PRK Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Wan Azizah (PKR), Suhaimi Sabudin (BN), Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan calon Bebas Salleh Isahak.
PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anwar, anggota Parlimen kawasan itu melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Pada pilihan raya umum 2013, Anwar mempertahankan kerusi Permatang Pauh dengan menewaskan calon BN, Dr Mazlan Ismail dengan majoriti 11,721 undi.
Read more at: http://www.astroawani.com/berita-politik/masa-jadi-wakil-rakyat-tak-pernah-jenguk-kami-pengundi-58796?cp
Tag : keputusan tak rasmi prk Permatang Pauh , Keputusan Rasmi prk Permatang Pauh
keputusan rasmi prk rompin , keputusan tak rasmi prk rompin , prk rompin, prk permatang pauh
keputusan terkini prk rompin , keputusan terkini prk permatang pauh
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment