Tuesday 31 March 2015

Bangkang GST, Drama Lapuk Pembangkang Seperti KLIA, Putrajaya, Bank Islam, Proton


KUALA LUMPUR, 31 Mac – Keputusan kerajaan melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bermula  1 April mendapat tentangan dan bangkangan daripada pembangkang kerana mereka



nampak akan kebaikan yang akan dinikmati oleh rakyat akhirnya, jelas Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Inovasi, Komunikasi dan Teknologi Maklumat Negeri Kedah, Datuk Norsabrina Mohd Noor.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar Baharu itu lagi, secara logiknya jika sesuatu perkara yang diperkenalkan oleh kerajaan membawa kesan negatif kepada rakyat, pasti mereka akan membiarkannya, supaya akhirnya mereka akan membina persepsi pula dengan mengatakan kerajaan lemah di dalam membuat sesuatu dasar.

“Banyak contoh sebelum ini kerajaan buat pembangkang bising tetapi akhirnya rakyat dapat manfaat. Contohnya seperti penubuhan bank Islam, yang pada mulanya dikatanya tidak Islamik tetapi kini jadikan model kewangan negara-negara Islam yang lain, Putrajaya yang dahulunya hendak dilelong kini hendak dikuasai, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur yang dahulunya mereka kata membazir dana awam tetapi kini dinikmati oleh semua lapisan rakyat.dan juga proton,dulu kata mereka malaysia nak buat jarum pun tak reti apatah lagi nak buat kerata, sekarang jenama proton sudah menjadi salah satu jenama yang terkenal di dunia,

“Maka, apa isunya jika kerajaan melaksanakan GST? Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan buat kalau sesuatu itu tidak memberi manfaat kepada rakyat. Ini kerana BN adalah sebuah kerajaan yang bertanggungjawab. Sebelum membuat sesuatu dasar, kerajaan akan mengambil kira segala pandangan daripada pakar-pakar yang terlibat, yang akhirnya fokus untuk kepentingan rakyat,” katanya kepada UMNO-Online.

Tambahnya lagi yang juga merupakan Exco Puteri UMNO Malaysia, inilah muslihat pembangkang sebenarnya.

Sememangnya jelas beliau pembangkang sedar dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan pasti akan mengutamakan kesejahteraan dan kebajikan rakyat tetapi demi politik yang tidak matang, mereka memomok-momokkan rakyat dengan membina persepsi negatif kepada kerajaan BN.


“Kenapa apabila kerajaan negeri Pulau Pinang menaikkan cukai pintu dan tarif air mereka tidak bising? Tetapi apabila kerajaan ingin mengimplimentasikan GST yang hanya enam peratus berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sepuluh peratus, begitu gegak-gempita seolah-olah kerajaan membebankan rakyat.

“Lebih 160 buah negara telah mengamalkan GST. Negara jiran kita, Indonesia telah lama melaksanakannya dengan sepuluh peratus, Singapura dengan tujuh peratus. Adakah negara-negara ini tersilap langkah jika diambil kira dari pemikiran pembangkang?,” soal beliau.

Inilah modus operandi pembangkang, memanipulasi isu bagi menggambarkan kerajaan melakukan perkara yang menekan rakyat meskipun mereka mengetahui hasil pelaksanaannya mampu memberi kelebihan kepada semua pihak, ujar Ketua Puteri UMNO Kulim Bandar Baharu itu.

“Hasil pelaksanaannya nanti, rakyat juga akan mendapat manfaat paling besar seperti peningkatan taraf kemudahan infrastruktur, prasarana, pendidikan dan kesihatan.

“Walaubagaimanapun, saya berharap supaya pihak kementerian dan agensi yang berkaitan memantau akan kaedah pelaksanaan dan penguatkuasaan kepada semua kategori peniaga. Ini kerana saya yakin, ada yang akan ambil kesempatan menangguk di air keruh disebabkan ketidakfahaman dan kekeliruan yang timbulkan oleh pembangkang kepada rakyat mengenai GST ini,” tegasnya.

Kerajaan memperkenalkan GST bagi menggantikan SST supaya sistem percukaian menjadi lebih telus, sistematik dan mampu mengelakkan ketirisan dari pelbagai rantaian yang berkaitan dengan kadar yang dikenakan hanya enam peratus sahaja, antara negara yang terendah selepas Kanada dan Nigeria dengan kadar lima peratus.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) juga telah menerbitkan dan mengedarkan 6 panduan harga pengguna mengikut zon kepada umum yang menunjukkan peratusan perubahan harga barang. Buku ini boleh diperolehi secara percuma dari ibu pejabat KPDNKK, pejabat KPDNKK negeri atau dimuat turun dari laman web KPDNKK melalui pautan http://ebook.kpdnkk.gov.my/. – MediaUMNO.

No comments:

Post a Comment