Wednesday 1 April 2015

Tidak boleh kenakan GST ke atas kad tambah nilai


PUTRAJAYA - Peniaga tidak boleh mengenakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) ke atas kad tambah nilai untuk telefon bimbit atau lebih dikenali sebagai kad top-up.




Pengarah Bahagian GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk T Subromaniam berkata, ini kerana sebelum GST lagi, kad top-up itu sememangnya sudah dikenakan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus oleh kerajaan.

Katanya, sepatutnya tidak ada perubahan kerana jika harga top-up itu RM10 sebelum ini, harga tersebut kekal selepas 1 April kerana ia termasuk cukai.

"Kita pernah beri surat kepada semua syarikat telekomunikasi, RM10 itu termasuk cukai perkhidmatan. Kita juga telah beritahu syarikat telekomunikasi ini, apabila beralih kepada GST, mestilah kekalkan harga RM10 itu.

“Sebab kadar cukainya sama cuma tukar nama daripada cukai perkhidmatan kepada GST. Tetapi ada satu atau dua syarikat telekomunikasi yang nampaknya tidak mengikut arahan itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Alias Ahmad di sini, petang tadi.

Beliau mengulas pendedahan Alias sebelum itu yang memaklumkan kenaikan harga kad top-up menggunakan alasan GST adalah aduan paling banyak diterima KPDNKK pada hari pertama pelaksanaan GST, hari ini.

Subromaniam menegaskan, kastam bersama KPDNKK telah memulakan siasatan terhadap syarikat terlibat.

"Bukan semua syarikat menaikkan harga kad top-up. Ada syarikat telekomunikasi lain mengikuti arahan yang dikeluarkan kastam," katanya.

No comments:

Post a Comment