Thursday, 23 April 2015

Mati selepas tembak babi hutan


KAMPUNG RAJA -  Hasrat seorang lelaki  mencari lembunya yang hilang  sejak beberapa hari lalu tidak kesampaian apabila dia ditemui mati di kawasan semak berhampiran kebun kelapa sawit dekat Kampung Padang Tapong dekat Jertih, di sini, lebih kurang jam 3.30 petang kelmarin.



Mangsa Muhamad Suhaimi Mohamed, 59, ditemui mati di tempat kejadian oleh salah seorang rakannya yang ke tempat kejadian tidak lama selepas mangsa rebah.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, mangsa yang bekerja kampung  tinggal di Kampung Padang Luas tidak jauh dari tempat kejadian.

Menurutnya, sebelum itu mangsa yang bersendirian mencari lembunya yang hilang ada menghubungi rakannya dikenal sebagai June dari  Cherang Ruku, Pasir Putih, Kelantan supaya datang membantunya lebih kurang jam 2 petang.

“Apabila sampai di kawasan kebun berkenaan lebih kurang jam 3 petang, June dikatakan cuba menghubungi mangsa melalui telefon bimbit dan rakannya memberitahu dia berada di satu kawasan dan perlu menyeberang sebatang anak  sungai.

“Sepuluh minit kemudian, rakannya itu terdengar bunyi salakan anjing kepunyaan mangsa dari satu kawasan sebelum disusuli bunyi dua das tembakan lalu rakannya memanggil mangsa beberapa kali  tapi tidak dijawab,” kata Khaled  lagi.

Khaled berkata, curiga dengan bunyi tembakan itu, June bergegas ke kawasan semak itu dan menemui mangsa dalam keadaan terlentang tidak sedarkan diri dengan selaras senapang patah laras dua berada di sampingnya  manakala seekor babi hutan seberat dianggarkan 100 kilogram turut ditemui mati 15 meter dari mangsa.

Menurutnya lagi, rakan mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Jertih untuk tindakan selanjutnya.

Mayat mangsa dikeluarkan dari kawasan berkenaan lebih kurang jam 11 malam kelmarin dan dihantar ke Hospital Besut untuk bedah siasat.

Pihak Hospital Besut mengesahkan kematian mangsa disebabkan serangan jantung dan pemeriksaan ke atas mayat mangsa juga didapati tiada sebarang kesan kecederaan kecuali hanya luka kecil di bawah telinganya.

“Polis mengklasifikasikan kes ini sebagai kematian mengejut kerana tidak ada unsur jenayah terhadap kematian mangsa manakala mangsa mempunyai lesen senjata yang dibawanya.

“Mangsa dipercayai terkena serangan jantung  selepas menembak mati seekor babi hutan di dalam semak tersebut ketika mencari lembunya,” katanya.

Sementara itu pada 18 April lepas, seorang anggota Rela, Shamsuddin Derahim, 56, maut terkena tembakan ketika memburu di hutan Kacong dekat Lata Tembakah Hulu Besut.

Setakat ini difahamkan seorang lagi rakan mangsa ditahan kelmarin untuk membantu siasatan selain dua rakannya yang ditahan pada hari kejadian.

No comments:

Post a Comment