Monday, 14 April 2014
Beranikah Pas Membelakangi DAP, PKR Untuk Laksana Hudud Di Kelantan?
KOTA KINABALU, 14 April – Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak mempersoalkan apakah kepimpinan Pas berani membelakangkan sekutu mereka, DAP dan PKR dalam usaha perlaksanaan hukum hudud di Kelantan sepertimana yang ditegaskan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakub.
Menurut beliau, sewaktu bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa menimbulkan isu berhubung perlaksanaan hudud sebelum ini, DAP dan PKR jelas tidak mahu berkrompomi dalam soal tersebut dan secara lantang menolak perlaksanaan hukum Islam tersebut secara terang-terangan.
“Baru-baru ini, DAP dan PKR menerusi Ketua Publisitinya Tony Pua dan Naib Presiden PKR, N. Surendran memberi peringatan keras kepada Pas, bahawa hudud tidak pernah menjadi kesepakatan dalam pembangkang dan sebarang cubaan untuk membentangkan usul rang undang-undang tersebut di Dewan Rakyat akan ditentang.
“Sebelum itu pula, bekas Pengerusi DAP, Karpal Singh, lantang memberi ingatan kepada Dewan Rakyat agar jangan membenarkan usul tersebut diluluskan dengan alasan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Dan yang terbaru, Penasihat DAP, Lim Kit Siang tampil dengan kenyataan tegas menolak cadangan tersebut serta berkata DAP menganggap pelaksanaan hukum hudud tidak sesuai untuk sebuah negara majmuk selain ianya tidak pernah menjadi kesepakatan dalam pembangkang,” jelasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.
Berdasarkan senario tersebut menurut Salleh, nampak gaya perjalanan Pas dalam usaha perlaksanaan hukum hudud ini bukanlah mudah. Dan beliau yakin bahawa pimpinan parti itu sendiri sememangnya mengakui hakikat ini.
“Apakah kepimpinan Pas berani untuk berpisah dengan DAP dan PKR untuk mencapai cita-cita ini? Saya secara peribadi kurang yakin Pas mampu berpisah dari DAP dan PKR. Tetapi ya,dari sudut politik, Pas mendapat `political mileage’ terutama dalam kalangan pengikut tegar. Sekurang-kurangnya, mereka boleh mendakwa telah melakukan sesuatu bagi perlaksanaan hudud.
“Justeru itu, jika hudud yang Pas canangkan ini gagal dilaksana, kesalahan tidak akan diletakkan kepada mereka, sebaliknya kesalahan tersebut akan dialihkan kepada sekutu mereka DAP dan PKR, dan mungkin juga Barisan Nasional (BN) turut akan dituduh menjadi puncanya.
“Kesimpulannya bagi saya, Pas membangkitkan semula isu hudud ini tidak lain daripada sekadar sebuah sandiwara. Mereka mahu memperlihatkan kepada ahli dan penyokong tegar mereka, bahawa Pas berjuang untuk agama. Namun, hakikat sebenarnya perlu diakui hakikat bahawa Pas itu hanya sebuah parti politik dan perjuangannya untuk mendapat kuasa semata-mata.
“Maka, kisah hudud ini sebenarnya hanyalah sebuah sandiwara untuk `survival’ politiknya tatkala Barisan Nasional kian mendapat tempat di hati segenap lapisan rakyat,” ujarnya.
Salleh juga beranggapan bahawa isu hudud ini hanyalah sandiwara lama Pas yang diulang tayang. Jalan ceritanya sama. Skripnya tidak berubah. Dan pastinya, penghujung cerita seperti dulu-dulu juga.
“Bagi saya, isu ini sekadar lakonan semula dalam pakatan pembangkang. Nampak jelas, ada sekurang-kurangnya tiga tujuan tersirat. Pertama, untuk mengaburi mata rakyat. Kedua, untuk mengalihkan perhatian. Dan ketiga, untuk “refresh” semula perhatian rakyat kepada parti tersebut.
“Saya tidak yakin, sandiwara ini akan berakhir dengan `happy ending’ seperti dalam filem-filem Bollywood. Kerana Pas tidak mungkin berjaya. Sebaliknya, Pas akhirnya akan terpaksa juga mengikut telunjuk rakan-rakan sekutu mereka iaitu DAP dan PKR,” akhiri beliau. -MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment